Sunday, January 22, 2012

1001 kenangan

dalam beberapa jam saja lagi, saya akan meninggalkan pekan parit raja, batu pahat ini selama-lamanya. pengajian sarjana saya telah pun selesai. alhamdulillah, saya bersyukur dapat menghabiskan pengajian mengikut masa yang ditetapkan.

terlalu banyak suka duka saya di pekan parit raja ini. bermula kira-kira enam tahun dahulu, sewaktu kemasukan pertama kali, semester satu ijazah sarjana muda di sini (2005) sehinggalah kini (2012) selesai dengan pengajian sarjana. sepanjang tempoh tersebut, banyak perkara yang mematangkan saya tentang erti hidup. erti kawan, sahabat, kasih, sayang , cinta, dan macam-macam lagi.

masih saya ingat betapa perit hidup sebagai seorang pelajar, mengharapkan bantuan ptptpn semata-mata (suatu ketika dahulu). terpaksa berkerja siang dan malam untuk menampung perbelanjaan seharian. niat hati langsung tidak mahu keluarga disusahkan, hanya kerana saya seorang. terlalu banyak jasa keluarga pada saya sehingga ke hari ini.

bermula dengan kerja-kerja di kedai makan bersama abg wira, sehingga lah saya dilamar untuk menjadi pembantu katering syarikat katering nombor 1 di UTHM. dengan pengalaman gaji pertama RM10 sehari (sebagai pembantu) sehinggalah Rm50 - Rm80 sehari (setelah berkeyakinan untuk menjadi pelayan VIP, menguruskan jamuan dll). semua itu pengalaman yang begitu berharga buat saya.

begitu juga kisah-kisah saya menjadi pembantu penjual goreng pisang di JB, yang hampir tiap-tiap minggu setia berhempas pulas mengerah tenaga berpanas menjadi penjual goreng pisang. ada juga saya selitkan kisah menjadi peraih pisang, hingga ke pedalaman perak, semuanya semata-mata mencari sedikit rasa senang di hati dalam menempuh alam pembelajaran saya di sini. semuanya akan segar bermain di ingatan saya. insyaAllah.

kisah-kisah cinta saya, dari perkenalan pertama dengan si DIA yang kini dah menjadi milik orang. cinta ke dua saya juga musnah, menambahkan lagi luka di hati. sehinggalah sekarang, jika Allah izinkan, saya berharap dapat lah saya sehidup semati dengan cinta saya yang kini. dengan izin Allah, selesai segala permasalahan saya, saya akan membina rumah tangga saya sendiri. tidak sabar untuk saya ceritakan pada anak-anak saya, tentang siapa saya dahulunya..insyaAllah.

di saat ini, perasaan saya bercampur. sedih meninggalkan kenangan di parit raja, gembira berjaya menamatkan pengajian, sedikit gementar menghadapi dunia akan datang sebagai pekerja dalam dunia sebenar. namun saya tetap tabahkan hati untuk menempuhi semua itu. jika sebelum ini saya boleh, mengapa sekarang saya tidak boleh?.

masanya sudah hampir sangat. saya akan berangkat pulang sebentar saja lagi..dengan harapan di kemudian hari ini, kehidupan saya akan menjadi lebih bermakna. insyaAllah. saya berterimakasih kepada insan-insan yang sentiasa berada di sisi saya sepanjang hidup ini. semoga Allah membalas setiap kebaikan yang dicurahkan kepada saya. insyaAllah. Amin

Thursday, December 15, 2011

rajuk hati

malam ini saya keseorangan. sahabat saya pulang ke kampung dengan hati yang suram. meninggalkan saya, juga dengan hati yang suram. saya terdiam, bila sepi lebih menguasai suasana malam ini. tiada kata yang mampu saya luahkan untuk menceritakan suasana ini. saya serba salah. atas kesalahan pada mulanya, bukan saya yang cetuskan. tapi akhirnya, berbalik kepada saya sendiri sebagai pesalah.

persahabatan adalah satu hubungan yang sangat manis sekiranya digunakan dengan betul. adat, lumrah hidup, bertukam lidah, kadangnya sampai bertumbuk. esok lusa pasti baik semula. entah esok lusa itu, pada bila masa masih belum kita ketahui.

namun, atas apa yang berlaku sebentar tadi benar-benar mencengkam naluri saya sebagai manusia yang bermaruah. saya tidak harus membenarkan maruah saya dipijak-pijak atas nama persahabatan. saya ego tentang maruah diri. diri saya nampak lembut pada riak wajah, namun dalaman saya keras. hati saya degil, sepertimana teman-teman lain saya mengkhabarkan kepada saya.

saya boleh jadi sebaik mungkin sebagai sahabat. saya juga boleh jadi sekejam mungkin sebagai sahabat. bagi saya, kalau kita sebagai manusia, sahabat tidak akan sesekali memberikan sikap negatif kepada kita, melainkan kita sendiri yang memulakannya. begitulah sebaliknya.

bila dari jauh saya dengar, deruman enjin kereta dihidupkan di ruang hadapan rumah, saya sedar, mungkin saya juga keterlaluan dalam mempertahankan ego saya. sayup-sayup, bunyi ekzoz meninggalkan rumah saya. perlahan, semakin lama semakin hilang dari pendengaran. sahabat saya pergi begitu saja, meninggalkan saya seorang diri di rumah yang sudah hilang serinya.

tadinya, bila amarah lebih menguasai saya, saya lemparkan kata-kata yang mungkin berbekas di hatinya untuk selama-lamanya. kepada Tuhan saya bersujud, Allah lembutkan hati saya untuk memperbaiki keadaan. namun, sahabat saya sudah pun terlalu jauh meninggalkan saya.

saya akur, hati manusia, rajuknya sukar diubati. apa daya saya, seorang manusia yang punya hati juga, sama seperti sahabat saya.

Wednesday, August 24, 2011

penghargaan

Alhamdulillah. Bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, dapat saya menamatkan program Latihan Mengajar (LM) ini bagi sesi Jun hingga Ogos 2011 dengan jayanya. Tanpa keizinan-Nya, sudah pasti saya tidak akan mampu untuk mengikuti LM sepanjang 12 minggu ini. Tidak dapat disangkal lagi, program LM ini sangat memberikan impak yang mendalam kepada pelatih LM seperti saya. Perasaan teruja dan terharu apabila kali pertama dipanggil cikgu tidak akan dapat saya lupakan sampai bila-bila.

Saya ditempatkan di bawah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, (JKM). Saya diamanahkan untuk mengajar subjek Kejuruteraan Mekanik, Bengkel Amalan Kejuruteraan Mekanikal 1, Makmal Kejuruteraan 1 dan Kokurikulum – Polibriged. Jumlah kesemua jam kredit adalah 9 jam. Alhamdulillah, semua proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat dijalankan dengan baik.

Sepanjang tempoh LM ini, saya berhadapan dengan pelbagai kerenah pelajar yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan budaya. Pelajar saya dalam lingkungan umur 18-20 tahun. Ada dalam kalangan mereka bersikap matang, dan ada juga yang masih belum keluar dari bayangan pelajar sekolah menengah. Saya dapat melihat, dari pengalaman LM saya, pelajar-pelajar yang bersungguh-sungguh dalam pelajaran, pelajar-pelajar yang kurang memberikan tumpuan dan tidak kurang juga pelajar-pelajar yang kurang menghormati saya sebagai pensyarah. Sikap mereka, ada kalanya membuat saya gembira, terharu, sedih mahupun kecewa. Perkara-perkara ini mengajar saya erti ketabahan menjadi seorang pendidik yang cemerlang.

Saya sedar, tugas seorang pendidik sangat besar. Pendidik bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, malah mendidik sahsiah pelajar ke arah yang lebih baik. Pendidik menjadi orang ke dua selepas ibu bapa yang mencorakkan warna diri seorang pelajar. Sepanjang tempoh LM ini, saya bersikap toleransi terhadap pelajar, cuba mengikut rentak mereka agar tidak terlalu keras, cuba mendekatkan jarak antara pelajar dan pensyarah, dengan harapan para pelajar dapat menyesuaikan diri dengan saya tanpa perlu ada rasa takut, tidak selesa atau tidak suka dengan diri saya. Hasilnya, pelajar menganggap saya sebagai kawan, namun saya masih lagi menetapkan batasan pangkat pelajar dan pensyarah itu sendiri.

Apa yang sedikit mengecewakan adalah, ada dalam kalangan pelajar yang telah melepasi had batasan yang diberikan saya kepada mereka sebagai pelajar. Mereka mula menunjukkan rasa kurang hormat kepada saya dan berani mengajuk kata-kata saya dengan alasan bergurau, atau tidak mengendahkan tugasan yang saya berikan, memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah, datang lambat ke kelas dan sebagainya.

Secara jujurnya, saya telah mendapat satu kesedaran dari pengalaman LM ini, pensyarah tidak boleh sama sekali meletakkan ”darjat” mereka setaraf dengan pelajar. Secara psikologinya, pelajar lebih takut kepada pensyarah yang garang dan secara tidak langsung mereka juga takot untuk mempamerkan sikap kurang hormat kepada pensyarah. Maka, saya mentafsirkan istilah garang kepada pelajar bukan bermaksud tidak mesra, tetapi sikap tegas yang perlu dipertahankan oleh setiap pensyarah. Ketegasan seorang pensyarah dilakukan adalah demi untuk kebaikan pelajar pada masa akan datang.

Pada pertengahan tempoh LM saya di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ini, saya didatangi oleh sebilangan pelajar-pelajar yang pada awalnya menunjukkan pencapaian yang kurang memberangsangkan dalam subjek yang diajar oleh saya. Mereka secara berkumpulan datang ke pejabat JKM dan bertanya tentang permasalahan yang berlaku dalam subjek tersebut. Saya dengan senang hati, memberikan tunjuk ajar kepada mereka secara satu persatu dan hasilnya, mereka menunjukkan peningkatan pencapaian yang memberangsangkan dalam tugasan atau kuiz yang diberikan, termasuklah Ujian 1.

Kebanyakan pelajar, sekiranya mereka masih kurang faham isi pelajaran semasa dalam kelas berikutan cabaran persekitaran seperti kelas yang bising, pelajar yang ramai atau gangguan dari pelajar-pelajar nakal, mereka pasti akan datang berjumpa saya di pejabat. Tindakan yang dijalankan ini, walau tidak ditetapkan masa perjumpaan, memberikan perubahan yang positif kepada pencapaian pelajar. Semakin lama, semakin ramai pelajar yang kerap berjumpa saya bagi membincangkan masalah dalam subjek tersebut. Perkara ini juga sedikit sebanyak mempengaruhi pelajar-pelajar lain untuk datang dan berbincang dengan saya termasuklah pelajar-pelajar nakal dan kurang memberikan hormat pada saya suatu ketika dahulu.

Alhamdulillah, secara peribadi, saya terharu dengan kehadiran pelajar-pelajar yang pada jangkaan awal saya, kurang menghormati saya, namun pada akhirnya menjadi salah seorang yang menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam Ujian 1. Pada masa yang sama juga, sikap mereka menjadi semakin bersungguh dalam kelas dan tiada lagi sifat kurang hormat pada saya yang hanya sekadar Pensyarah Pelatih.

Secara keseluruhan, saya bersyukur kerana diberi peluang menjalankan Latihan Mengajar di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ini. Kerjasama dari staf JKM, tunjuk ajar dari Ketua Jabatan, Puan Rosmawati Bt Ismail dan bimbingan dari Pensyarah Pembimbing, Puan Zalaida Bt Talib, banyak membantu saya bertahan dan melengkapkan LM dengan jayanya. LM saya tidak lengkap tanpa adanya pelajar-pelajar yang secara tidak langsung memberikan saya erti sebenar siapa itu pendidik. Segala budi dan jasa tercurah kepada saya dari mana-mana pihak sekalipun, saya ucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga. Terima kasih.


*owh ini laporan akhir saya selama tiga bulan di PSA..


Friday, May 6, 2011

duniawi..

saya bersyukur, tesis saya telah diluluskan oleh supervisor (SV) saya untuk sesi pembentangan oral (juga dikenali sebagai viva)..cukup untuk mengurangkan debaran tentang masa depan tesis saya yang asyik terbengkalai dulu..esok lusa saya akan menghadapi viva untuk tesis saya..saya tak boleh menipu diri sendiri betapa saya gementar untuk sesi viva nanti..

di saat2 akhir perjuangan saya dalam semester dua, macam2 dugaan yang berlaku..kesempitan wang bukan perkara biasa, ditambah lagi dengan permasalahan dalam pelajaran, dengan persekitaran sebagai pelajar yang dibebani pelbagai tugasan, dengan peperiksaan yang memerlukan penjanaan idea, memerah otak sebaik mungkin, dan mungkin juga sedikit masalah peribadi yang tidak boleh diceritakan..semuanya berlaku dalam suatu masa yang hampir sama..

saya cuba berfikiran positif untuk menerima semua permasalahan saya dan menyelesaikan dengan sebaik mungkin..atau mungkin secara satu persatu..saya cuba, walaupun saya tahu memang susah untuk lakukan..susah, sebab kalau bercakap memang semua orang tahu..nak buat, tak semua orang boleh buat..

oh ye..dalam pada masa serabut sekarang ini, rakan kelas saya mengajak untuk berkelah di pantai pada esok hari..saya rasa, tidak salah untuk saya turut serta untuk menghilangkan kekusutan yang melanda diri saya..sekurang-kurangnya saya dapat melupakan sedikit sebanyak tentang permasalahan saya..

entah lah, kalau terlalu fikirkan masalah sangat pon, tak ke mana, jadi lebih baik relax dan berlagak seperti tiada masalah..lagipun, kalau kita gembira setara mana pun, orang bukan tahu apa yang ada dalam hati kita..jadi pendapat saya, just relax and face what will happen in front..(ceh speaking pulak)..haha

Sunday, April 24, 2011

di medan ini

dalam beberapa jam saja lagi, saya akan menghadapi peperiksaan akhir untuk semester ke dua pengajian saya..dalam kepala saya, silih berganti perkataan-perkataan seperti anova, friedman, kruskal wallis, LSD, tukey's dan macam-macam lagi..penuh dan berserabut, menjadikan kepala saya sedikit pusing, pening, padat dan berdenyut-denyut..

selama empat bulan untuk pengajian semester ke dua, terlalu banyak maklumat yang harus dikumpulkan dalam kepala saya untuk dirumuskan dalam masa tiga jam sahaja..letih otak saya memikirkan penyelesaian setiap masalah yang berbelit-belit, dengan formula yang terlalu kompleks dan perlu dihuraikan setiap persatu..letih sekali..

ada banyak lagi yang bermain di fikiran selain dari istilah-istilah statistik dalam penyelidikan yang saya nyatakan tadi..tesis sarjana saya masih belum selesai, dengan tahap kesibukan penyelaras tesis sarjana saya yang sangat tinggi, kadang-kadang sangat sukar untuk saya bertemu secara empat mata bagi membincangkan hasil kajian yang telah saya lakukan tentang pendidikan khas di politeknik..

tarikh pembentangan tesis sarjana saya sudah tidak lama lagi..sangat dekat, tapi saya masih lagi belum siapkan sepenuhnya..perkara ini membuatkan saya sedikit tertekan, untuk menghadapi peperiksaan akhir lagi..sebenarnya, sangat tertekan mungkin..melihat teman seperjuangan saya yang lain, ada yang sudah dapat siapkan tesis sarjana ke peringkat akhir..ada juga yang bernasib sama seperti saya..masih terbengkalai dan kadang-kadang terasa seperti diabaikan..

saya sudah malas mengeluh, malas nak terlalu serabutkan kepala saya dengan masalah-masalah yang menggangu saya sepanjang tempoh pengajian ini..jadi saya biarkan saja..biarlah saya selesaikan satu persatu..apa yang penting bagi saya, walaupun saya agak lambat untuk selesaikan masalah saya, sekurang-kurangnya masalah saya dapat diselesaikan..itu sudah memadai bagi saya..

sekarang adalah masa untuk saya berehat sebentar memandangkan saya masih belum tidur pada malam ini..sedangkan peperiksaan saya bermula tinggal beberapa jam sahaja dari waktu ini..biarlah, saya pasrahkan pada Tuhan yang lebih tahu apa yang akan terjadi nanti..mudah-mudahan saya berjaya..

Monday, April 11, 2011

bunga-bunga malam

sebenarnya, pada saat ini hati saya sangat berbunga-bunga apabila diraikan majlis hari jadi..entah, ada satu perasaan dalam hati saya, saya begitu terharu apabila, sesuatu yang dirancang tanpa pengetahuan saya, semata-mata untuk meraikan diri saya sendiri..menjadikan saya melupakan setiap masalah yang melanda saya..


sebenarnya, sudah lama saya tidak diraikan dalam majlis hari jadi..seingat saya, kali terakhir saya meraikan hari jadi semassa di pengajian matrikulasi di melaka bersama teman-teman sekolah menengah..pada ketika itu, tiada apa yang dapat saya gambarkan melainkan rasa gembira pada setiap ucapan dan hadiah yang diterima untuk hari jadi saya..dan itu adalah tujuh tahun yang lalu..


sebenarnya lagi, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan yang memberikan saya teman-teman yang baik, yang sentiasa bersama saya, walau dalam susah dan senang..dari dalam hati saya sendiri, saya sangat bersyukur menjadi diri saya..walaupun terdapat pelbagai kekangan untuk teruskan hidup, tapi Tuhan tetap berikan saya kegembiraan..

saya ucapkan terima kasih yang paling dalam dari hati saya kepada manusia-manusia yang masih mempedulikan siapa saya, membuatkan saya adalah seseorang dalam hati mereka..terima kasih atas segalanya..terima kasih

Monday, March 14, 2011

tuala good morning di belakang leher

mentari di langit menggigit tubuh menjerih peluh..tuala good morning yang disangkutkan di belakang leher kian basah, masam dan hamis natijah daki-daki yang dari sekian dulu menjadi teman..perlahan, kudrat dari tubuh dikerah lagi..panas bukan alasan untuk terus duduk dan memerhati..yang pasti, tugas yang diberi di depan mata harus diutamakan, mesti harus siap pada waktunya..

manik putih yang tadi berbintik di dahi terus mengalir laju..selaju deru nafas yang berombak mengah di dada..puas diseka dengan hujung ibu jari, tuala putih good morning sekali lagi menghisap jurai, menambah masam dan hamis..

oh Tuhan, tabahkan hati untuk cekal tempuh ujianMu..tetapkan rasa terus di jalanMu ya Tuhan..pencarian ini hanya kernaMu, maka pohon hati jangan pernah ada lelah untuk tubuh dan jiwa mengharung fana dunia..jangan biar ada sesal datang yang bisa goyahkan..

ah tamak!..mahu itu mahu ini, getus hati monolog..

kadang-kadang hati rasa marah bila rasa tidak malu hadir, minta itu minta ini..kadang-kadang hati sedih bila tubuh menangis dikerah untuk puaskan rasa hati, yang tak pernah serik..selalu saja rasa tidak pernah puas hadir..dan akhirnya, benci juga yang selalu jadi kawan hati..ah manusia..fitrah, tak terkesampaian..

keterpaksaan mengheret tubuh untuk terus disirami jurai peluh..biarlah hati kata apa pun, semua ditolakkan ke tepi..biarlah rasa jiwa dan minda yang memandu tubuh untuk dapatkan yang terbaik..kalau ikutkan kata hati dari tubuh, siapa mahu hariannya, terus dijemur terik?..

benci,
kotor,
masam dan hamis..

jijik pada mata-mata lain..

fikiran tubuh terkenang manusia-manusia di rumah, manusia yang masih perlu diberi nasi sesuap dan air seteguk..manusia-manusia yang bila pulangnya tubuh masam dan hamis, tak pernah sekali pun dijebik bibir, dijijikkan mata atau diguris madah-madah sinis..yang ada hati yang berkongsi rasa, kongsikan lelah duga, atau setidaknya hati yang sekali pun tidak mahu mata berpaling dari pandangan..setia hingga akhirnya..

terkenang itu, rasa hati mula bahagia..maka, senyumlah tebal bibir hitam disinggahkan ke muka wajah..biar kelat, tapi ada serinya..dan, masih pasti tuala good morning itu untuk kesekian kalinya, takkan pernah tinggal, dilomorkan ke seluruh kedut wajah, menyerap titis-titis peluh yang entah bila ada hentinya..


*selamat hari lahir ayah..