Alhamdulillah. Bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, dapat saya menamatkan program Latihan Mengajar (LM) ini bagi sesi Jun hingga Ogos 2011 dengan jayanya. Tanpa keizinan-Nya, sudah pasti saya tidak akan mampu untuk mengikuti LM sepanjang 12 minggu ini. Tidak dapat disangkal lagi, program LM ini sangat memberikan impak yang mendalam kepada pelatih LM seperti saya. Perasaan teruja dan terharu apabila kali pertama dipanggil cikgu tidak akan dapat saya lupakan sampai bila-bila.
Saya ditempatkan di bawah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, (JKM). Saya diamanahkan untuk mengajar subjek Kejuruteraan Mekanik, Bengkel Amalan Kejuruteraan Mekanikal 1, Makmal Kejuruteraan 1 dan Kokurikulum – Polibriged. Jumlah kesemua jam kredit adalah 9 jam. Alhamdulillah, semua proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat dijalankan dengan baik.
Sepanjang tempoh LM ini, saya berhadapan dengan pelbagai kerenah pelajar yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan budaya. Pelajar saya dalam lingkungan umur 18-20 tahun. Ada dalam kalangan mereka bersikap matang, dan ada juga yang masih belum keluar dari bayangan pelajar sekolah menengah. Saya dapat melihat, dari pengalaman LM saya, pelajar-pelajar yang bersungguh-sungguh dalam pelajaran, pelajar-pelajar yang kurang memberikan tumpuan dan tidak kurang juga pelajar-pelajar yang kurang menghormati saya sebagai pensyarah. Sikap mereka, ada kalanya membuat saya gembira, terharu, sedih mahupun kecewa. Perkara-perkara ini mengajar saya erti ketabahan menjadi seorang pendidik yang cemerlang.
Saya sedar, tugas seorang pendidik sangat besar. Pendidik bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, malah mendidik sahsiah pelajar ke arah yang lebih baik. Pendidik menjadi orang ke dua selepas ibu bapa yang mencorakkan warna diri seorang pelajar. Sepanjang tempoh LM ini, saya bersikap toleransi terhadap pelajar, cuba mengikut rentak mereka agar tidak terlalu keras, cuba mendekatkan jarak antara pelajar dan pensyarah, dengan harapan para pelajar dapat menyesuaikan diri dengan saya tanpa perlu ada rasa takut, tidak selesa atau tidak suka dengan diri saya. Hasilnya, pelajar menganggap saya sebagai kawan, namun saya masih lagi menetapkan batasan pangkat pelajar dan pensyarah itu sendiri.
Apa yang sedikit mengecewakan adalah, ada dalam kalangan pelajar yang telah melepasi had batasan yang diberikan saya kepada mereka sebagai pelajar. Mereka mula menunjukkan rasa kurang hormat kepada saya dan berani mengajuk kata-kata saya dengan alasan bergurau, atau tidak mengendahkan tugasan yang saya berikan, memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah, datang lambat ke kelas dan sebagainya.
Secara jujurnya, saya telah mendapat satu kesedaran dari pengalaman LM ini, pensyarah tidak boleh sama sekali meletakkan ”darjat” mereka setaraf dengan pelajar. Secara psikologinya, pelajar lebih takut kepada pensyarah yang garang dan secara tidak langsung mereka juga takot untuk mempamerkan sikap kurang hormat kepada pensyarah. Maka, saya mentafsirkan istilah garang kepada pelajar bukan bermaksud tidak mesra, tetapi sikap tegas yang perlu dipertahankan oleh setiap pensyarah. Ketegasan seorang pensyarah dilakukan adalah demi untuk kebaikan pelajar pada masa akan datang.
Pada pertengahan tempoh LM saya di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ini, saya didatangi oleh sebilangan pelajar-pelajar yang pada awalnya menunjukkan pencapaian yang kurang memberangsangkan dalam subjek yang diajar oleh saya. Mereka secara berkumpulan datang ke pejabat JKM dan bertanya tentang permasalahan yang berlaku dalam subjek tersebut. Saya dengan senang hati, memberikan tunjuk ajar kepada mereka secara satu persatu dan hasilnya, mereka menunjukkan peningkatan pencapaian yang memberangsangkan dalam tugasan atau kuiz yang diberikan, termasuklah Ujian 1.
Kebanyakan pelajar, sekiranya mereka masih kurang faham isi pelajaran semasa dalam kelas berikutan cabaran persekitaran seperti kelas yang bising, pelajar yang ramai atau gangguan dari pelajar-pelajar nakal, mereka pasti akan datang berjumpa saya di pejabat. Tindakan yang dijalankan ini, walau tidak ditetapkan masa perjumpaan, memberikan perubahan yang positif kepada pencapaian pelajar. Semakin lama, semakin ramai pelajar yang kerap berjumpa saya bagi membincangkan masalah dalam subjek tersebut. Perkara ini juga sedikit sebanyak mempengaruhi pelajar-pelajar lain untuk datang dan berbincang dengan saya termasuklah pelajar-pelajar nakal dan kurang memberikan hormat pada saya suatu ketika dahulu.
Alhamdulillah, secara peribadi, saya terharu dengan kehadiran pelajar-pelajar yang pada jangkaan awal saya, kurang menghormati saya, namun pada akhirnya menjadi salah seorang yang menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam Ujian 1. Pada masa yang sama juga, sikap mereka menjadi semakin bersungguh dalam kelas dan tiada lagi sifat kurang hormat pada saya yang hanya sekadar Pensyarah Pelatih.
Secara keseluruhan, saya bersyukur kerana diberi peluang menjalankan Latihan Mengajar di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ini. Kerjasama dari staf JKM, tunjuk ajar dari Ketua Jabatan, Puan Rosmawati Bt Ismail dan bimbingan dari Pensyarah Pembimbing, Puan Zalaida Bt Talib, banyak membantu saya bertahan dan melengkapkan LM dengan jayanya. LM saya tidak lengkap tanpa adanya pelajar-pelajar yang secara tidak langsung memberikan saya erti sebenar siapa itu pendidik. Segala budi dan jasa tercurah kepada saya dari mana-mana pihak sekalipun, saya ucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga. Terima kasih.
*owh ini laporan akhir saya selama tiga bulan di PSA..






5 kOMen2 kAMu..:
gud...laporan yg sgt bagus..;)
salam singgah d blog anda..
Good Job.... Ade tak student yang macam sikap awak ms belajar dulu..
ha3.... tolong buat utk aku satu... buku LM tu pon aku belum isi lagi... ha3
saya malas2 juga, tp xde lah kurang hormat pada guru..hehehe
Huhu.. Tak sangka dah banyak kemajuan dah dia.. Teruskan.. All the very best.. :)
Post a Comment